SIBU: Projek naik taraf Loji Rawatan Air Salim meningkatkan kapasiti loji berkenaan dari 150 Juta Liter Air Sehari (MLD) kepada 300 MLD kini lebih 96 peratus siap.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata projek itu antara Pelan Induk Bekalan Air Sarawak dan Sistem Grid Air Sarawak yang menggunakan dana Kerajaan Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan kini berjalan lancar.
“Loji Rawatan Air Salim akan memperkukuh bekalan air di bandar raya Sibu dan kawasan sekitar bahagian itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke tapak projek itu di Loji Rawatan Air Salim, di sini, hari ini.
Julaihi Narawi berkata, selain loji rawatan air di Salim, pihaknya juga mempunyai loji di Bukit Lima berkapasiti 45 MLD dan di Sadit (5 MLD) yang dirasmikan tahun lalu.
Manakala, loji di Nibong Tadak (5 MLD) dirasmi tahun ini dan di Rantau Panjang (5 MLD) yang dirasmi pagi tadi.
“Semua inisiatif ini membuktikan komitmen dan kesungguhan Kerajaan GPS” tambahnya.
