KUCHING: Ketekunan, disiplin serta sokongan pendidikan menjadi faktor penting kejayaan dua graduan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang berjaya mencapai kecemerlangan akademik meskipun berdepan pelbagai cabaran sepanjang pengajian.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Kimia dengan Kepujian, Sharon Leong Hui Jiun, mencatatkan pencapaian membanggakan apabila memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.99.
Menurut Sharon, cabaran mengimbangi tuntutan akademik dan aktiviti kokurikulum berjaya diatasi melalui sokongan keluarga, rakan-rakan serta bimbingan individu di sekelilingnya.
“Saya sebenarnya tidak menjangkakan keputusan 3.99 ini dan amat bersyukur dengan pencapaian tersebut.
“Jangan membandingkan diri dengan orang lain kerana setiap individu mempunyai perjalanan tersendiri.
“Teruskan berusaha dan percaya kepada proses,” katanya
Sementara itu, graduan jurusan Ukur Bahan dari Fakulti Alam Bina UNIMAS, Mohd Saifuddin Abdullah yang berasal dari Bintulu menyifatkan bantuan pendidikan Yayasan Sarawak sebagai pendorong utama kejayaannya meraih anugerah kecemerlangan.
Menurutnya, bantuan berkenaan banyak meringankan beban kewangan keluarganya yang berpendapatan sederhana, sekali gus membolehkannya memberikan tumpuan terhadap pengajian.
“Bantuan Yayasan Sarawak banyak membantu mengurangkan beban kewangan keluarga saya.
“Selain itu ia menjadi motivasi untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga memperoleh anugerah ini,” katanya.
Saifuddin turut berhasrat memanfaatkan kepakaran dalam bidang ukur bahan bagi menyumbang kepada pembangunan Sarawak pada masa hadapan.
Kedua-dua graduan itu berharap inisiatif pendidikan Kerajaan Sarawak terus membuka peluang kepada lebih ramai anak muda, khususnya golongan kurang berkemampuan, untuk melanjutkan pengajian tinggi dan mencapai cita-cita masing-masing.
Sharon dan Saifuddin berjaya meraih Anugerah Graduan Cemerlang Yayasan Sarawak 2026, Kategori Bukan Bumiputera dan Kategori Bumiputera dan membawa pulang wang tunai RM2,000.
Kedua- dua mereka ditemui media selepas Majlis Konvokesyen UNIMAS Ke-30, Sidang Ketiga, di Dewan Tunku Abdul Rahman Putra (DeTAR PUTRA), di sini, hari ini.
Majlis penyampaian skrol konvokesyen di sempurnakan Premier Sarawak,Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.- NORAIDA ABDUL KASSIM/JIWA BAKTI
