Jentera Wanita GPS dijangka dilancar hujung bulan ini

KUCHING: Sebagai persediaan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak Ke-13, Pergerakan Wanita Gabungan Parti Sarawak (GPS) menggunakan pendekatan berterusan mendekati pengundi dan memastikan mereka keluar mengundi pada hari mengundi.

Ketua Wanitanya yang juga Ketua Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, langkah itu penting bagi mengenal pasti masalah agar intervensi bersesuaian dilaksanakan.

“Tanggungjawab besar yang diamanahkan kepada kita ialah mengenal pasti pengundi. Kita mesti tahu siapa pengundi kita dan sokongan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Parti PBB yang dipengerusikan Premier Sarawak merangkap Yang di-Pertua Parti PBB di Ibu Pejabat parti itu, di sini semalam.

Menurutnya, gerak kerja sayap wanita merangkumi fasa sebelum, semasa dan selepas pilihan raya, termasuk mendekati rakyat lebih awal melalui pelbagai aktiviti bersama wakil rakyat serta di peringkat MT Wanita, dewan undangan negeri (DUN) dan cawangan.

Dalam pada itu katanya, Jentera Wanita GPS dijangka dilancar pada 25 November ini, di Wisma SABATI oleh Premier Sarawak.

Katanya, kesemua 82 cawangan Wanita Parti akan digerakkan bagi melaksanakan tanggungjawab masing-masing membabitkan penglibatan seramai 182,787 ahli.