LAWAS: Jambatan ikonik Bandar Lawas akan dibuka kepada pengguna bermula esok (Jumaa), selepas projek itu disahkan siap sepenuhnya dan memperoleh Sijil Perakuan Siap (CPC) pada 15 Oktober lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA), Datuk Ismawi Ismuni, berkata pembukaan jambatan itu membolehkan kenderaan awam menggunakannya selepas semua keperluan keselamatan jalan raya dipenuhi.
“Ia akan berlangsung serentak dengan majlis pra pelancaran yang akan disempurnakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
“Jambatan ini sudah siap sepenuhnya sekali gus dibuka kepada orang ramai,” katanya pada sidang media di bilik mesyuarat Agensi Pembangunan Utara (NRDA), di sini, hari ini.
Ismawi berkata, kemudahan itu juga dijangka menjadi mercu tanda baharu Lawas menerusi reka bentuk serta sistem pencahayaan menarik.
Majlis perasmian rasmi pula dijadual disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, pada 18 November ini.
Turut hadir, Pengarah NRDA, Datuk Ubaidillah Latip serta pegawai kanan RECODA.
