Rumah tidak banjir, penduduk terputus hubungan tetap dibantu

KUCHING: Penduduk kampung dan rumah panjang yang terputus hubungan akibat banjir tetap akan menerima bantuan makanan.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, bantuan disalurkan meskipun kediaman mereka tidak dinaiki air dan tidak perlu berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Katanya, penyediaan pangkalan hadapan bagi menyimpan bekalan makanan kering merupakan antara persediaan utama Kerajaan Sarawak menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).

“Sebagai contoh, rumah mereka tidak dimasuki air tetapi jalan keluar terputus sehingga mereka tidak dapat berhubung dengan kawasan lain. Dalam keadaan seperti ini, kita akan menyediakan bekalan makanan kering kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara OCI Terrasus Sdn Bhd dan SeDidik Sdn Bhd di Bangunan Baitul Makmur 2, di sini, hari ini.

Fatimah berkata, sebanyak 679 PPS dikenal pasti di seluruh Sarawak sebagai persediaan menghadapi MTL, dengan penentuan lokasinya tertakluk kepada persetujuan Jawatankuasa Pengurusan Bencana berdasarkan kesesuaian kawasan dan keperluan penduduk.

Menurutnya, persiapan turut merangkumi penyediaan petugas, bot dan kenderaan bagi memastikan pengagihan bantuan serta komunikasi dengan bilik gerakan bencana berjalan lancar.

Katanya, segala operasi bantuan diselaraskan melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi memastikan penduduk terjejas menerima bantuan dengan segera.