Veteran tentera Sarawak terima geran pada Konvokesyen PERHEBAT Ke-71

KOTA SAMARAHAN: Seramai tujuh veteran tentera di Sarawak menerima geran padanan dana Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB) berjumlah RM42,000.

Menurut kenyataan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT), geran terbabit disampaikan pada Majlis Konvokesyen PERHEBAT ke-71 bagi Sarawak di Dewan Suarah Kota Samarahan, di sini, semalam.

Penyampaian geran disempurnakan Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Mohd Sofi Md Lepi diiringi Ketua Sektor Sokongan Latihan, Kewangan dan
Pentadbiran PERHEBAT, Dr. Nor Hayati Yahya.

Sejak dilaksana, seramai 313 veteran tentera berjaya menikmati padanan dana berjumlah RM1.6 juta di seluruh Malaysia.

Ini hasil Program Pemerkasaan Usahawan Veteran ATM (PUVET ATM) yang dilaksanakan Kementerian Pertahanan melalui PERHEBAT dan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim serta disokong penuh oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Selain itu, seramai 264 anggota tentera menerima Sijil Latihan Peralihan dan 16 anggota serta veteran dianugerah Diploma Kemahiran Malaysia pada konvokesyen terbabit.