LAWAS: Jambatan Bandar Lawas yang menjadi mercu tanda baharu daerah itu, dengan reka bentuk pilihan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, kini dibuka kepada orang ramai bermula hari ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, jambatan sepanjang kira-kira 642 meter itu dibina dengan kos RM149 juta.
Menurutnya, tiga reka bentuk dikemukakan untuk pertimbangan Premier sebelum beliau memilih reka bentuk yang kini menjadi identiti jambatan berkenaan.
“Kita berterima kasih kepada Premier Sarawak atas sokongan dan dokongan beliau dalam merealisasikan projek ini,” katanya ketika media selepas Majlis Prapelancaran Jambatan Bandar Lawas, hari ini.
Awang Tengah berkata, pembinaan jambatan tersebut merupakan sebahagian daripada perancangan pembangunan bandar Lawas khususnya dalam aspek pembangunan ekonomi.
Katanya, jambatan tersebut melengkapi jaringan jalan raya yang menyeluruh kerana bersambung dengan projek Lebuhraya Pesisir Utara (NCH) dan jalan penghubung Sarawak-Sabah (SSLR).
Kemudahan itu dijangka memendekkan masa perjalanan darat, selain meningkatkan hubungan antara Sarawak dengan Sabah, Brunei Darussalam dan Kalimantan, Indonesia.
Beliau turut memaklumkan dua lagi jambatan utama akan dibina menerusi pakej NCH, iaitu Jambatan Batang Trusan dan Jambatan Kuala Lawas.
