Jentera parti sudah disusun, GPS siap siaga hadapi PRU Sarawak Ke-13

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) sudah bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-13 dengan persiapan jentera dan logistik yang telah disusun lebih awal.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, persiapan itu dilaksanakan secara berterusan sejak pilihan raya lalu dengan kerjasama semua parti komponen GPS.

“Sebenarnya, kita bekerja sepanjang masa. Sejak pilihan raya lalu, kita sudah mula bekerja. Dari segi jentera pilihan raya, kita sebenarnya sudah bersiap sedia,” katanya.

Fadillah merangkap Ketua Whip GPS itu berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Gelanggang Futsal PDRM Sarawak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, hari ini.

Menurutnya, Jawatankuasa Operasi Pilihan Raya GPS yang diketuai Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menyelaraskan segala keperluan termasuk logistik dan gerak kerja jentera pilihan raya.

“Segala gerak kerja termasuk persiapan logistik disusun dengan rapi. Kini, kita hanya menunggu hari penamaan calon untuk menggerakkan jentera pilihan raya,” katanya.

SPR menetapkan 28 November sebagai hari penamaan calon, 8 Disember bagi pengundian awal dan 12 Disember sebagai hari pengundian, dengan tempoh kempen selama 14 hari.