Parti PBB Cawangan Kuala Rajang mantapkan gerak kerja

SARIKEI: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) memperkukuh penyelarasan jentera serta memastikan petugas di peringkat akar umbi bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sarawak (PRU DUN) Ke-13

Naib Yang di-Pertua PBB, Datuk Len Talif Salleh berkata, persediaan itu dimulakan lebih awal menerusi beberapa siri perbincangan di peringkat negeri.

Katanya, beberapa jawatankuasa turut diwujudkan bagi menyelaras perancangan dan memastikan setiap gerak kerja pilihan raya dilaksanakan dengan teratur.

“Saya yakin Parti PBB mampu mengulangi kejayaan besar dalam pilihan raya akan datang berdasarkan kesepakatan kepimpinan, keseragaman hala tuju serta pencapaian pembangunan infrastruktur yang telah dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata kepada media selepas menghadiri sesi taklimat bersama ahli Parti PBB Cawangan N.41 Kuala Rajang, di sini.

Menurutnya, hubungan erat antara kepimpinan parti dengan anggota di peringkat akar umbi menjadi antara kekuatan utama dalam memastikan kelancaran persiapan menghadapi pilihan raya.

Len Talif yang juga Ketua Cawangan N.41 Kuala Rajang berkata, pihaknya turut mengambil langkah awal dengan mengenal pasti dan melantik anggota yang bakal mengendalikan operasi pilihan raya.