Pulau Bruit berpotensi sebagai destinasi pelancongan baharu

DARO: Pulau Bruit berpotensi diketengahkan sebagai destinasi pelancongan baharu berikutan keistimewaannya antara pulau terbesar di Malaysia serta mempunyai keunikan.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, Pulau Bruit merupakan pulau ketiga di Malaysia yang dihubungkan melalui dua jambatan merentasi sungai selepas Pulau Carey dan Pulau Indah di Selangor.

“Keistimewaan ini boleh dijadikan identiti tersendiri dalam usaha mempromosikan Pulau Bruit sebagai destinasi yang mampu menarik lebih ramai pengunjung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pesta Pulau Bruit-Temasya Lautani yang dirasmikan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah di Tapak Utama Pesta, di sini, hari ini.

Abdullah berkata, perpaduan masyarakat dan kerjasama antara agensi kerajaan menjadi asas penting memastikan pembangunan Pulau Bruit terus diperkasa.

“Semangat kerjasama amat penting kerana usaha pembangunan tidak dapat digerakkan oleh seorang pemimpin sahaja, sebaliknya memerlukan sokongan seluruh masyarakat dan agensi kerajaan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdullah memaklumkan Persatuan AI Sarawak akan mengadakan program berkaitan kecerdasan buatan (AI) dengan kerjasama Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di Pulau Bruit esok.

Program berkenaan bertujuan memberi pendedahan kepada golongan muda dan belia mengenai penggunaan teknologi AI, termasuk peluang menceburi bidang penciptaan kandungan dan pempengaruh digital.