Pembangunan kawasan Tupong bukti komitmen Kerajaan GPS

KUCHING: Pelaksanaan projek pembangunan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tupong membuktikan komitmen Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat di kawasan tersebut.

Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Tupong, Dato Fazzrudin Abdul Rahman berkata, pelbagai inisiatif kerajaan turut memberi manfaat kepada penduduk, termasuk aspek kemudahan pendidikan dan pembangunan infrastruktur.

“Peningkatan infrastruktur terutama jalan raya yang memendekkan masa perjalanan penduduk dari 30 hingga 45 minit kepada hanya 10 hingga 15 minit jelas mencerminkan usaha berterusan Kerajaan GPS memastikan rakyat menikmati kemudahan serta pembangunan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Armada Pemuda Parti PBB dan pelepasan konvoi bermotosikal di Dewan Kampung Matang Batu 10 di sini, hari ini.

Pelancaran dilakukan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Fazzrudin yang juga Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak menggesa seluruh jentera PBB, khususnya golongan muda supaya terus bersatu dan memperhebat persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.

“Kerjasama erat antara kepimpinan dan ahli amat penting bagi memastikan parti ini terus memperoleh kemenangan besar, bukan sahaja di kawasan Tupong malah di seluruh Sarawak,” tegasnya.

Beliau sehubungan itu, mengingatkan jentera muda parti supaya terus memainkan peranan aktif dalam memperkukuh kekuatan dan perpaduan parti bagi memastikan kesiapsiagaan menghadapi pilihan raya nanti.