Pemuda Parti PBB sasar kemenangan besar PRU DUN Sarawak

KUCHING: Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) perlu memperkukuh gerak kerja di peringkat akar umbi serta menggunakan pendekatan berasaskan data bagi memastikan kemenangan besar Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak ke-13.

Gesaan itu disampaikan oleh Ketua Pemudanya, Datuk Martin Ben dalam ucapan aluan pelancaran Jentera Pilihan Raya Armada Pemuda Parti PBB berlangsung di Kampung Stakan Melayu, hari ini.

Pelancaran dilakukan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurutnya, peranan Pemuda bukan sekadar membantu kerja-kerja kempen seperti memasang bendera dan poster, sebaliknya perlu turun padang secara aktif untuk mendekati pengundi serta memastikan penyokong GPS keluar mengundi.

Katanya lagi, pendekatan kempen kali ini perlu lebih tersusun dengan memanfaatkan data pemilih bagi mengenal pasti jumlah pengundi di setiap kawasan, pusat mengundi dan daerah mengundi.

Martin turut menegaskan maklumat tersebut perlu dikongsikan dengan setiap cawangan dan ranting supaya gerak kerja dapat dirancang dengan lebih berkesan.

“Pencapaian kerajaan sepanjang lima tahun pertama pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030) perlu dijadikan bahan penerangan kepada masyarakat, khususnya golongan muda dan pengundi di peringkat akar umbi,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, beliau menegaskan sasaran Gabungan Parti Sarawak (GPS) bukan sekadar mempertahankan 47 kerusi yang ditandingi Parti PBB, tetapi turut membantu rakan parti komponen lain bagi mencapai kemenangan di kesemua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).