Pemuda pemacu masa depan, pembangunan Sarawak

KUCHING: Golongan pemuda memainkan peranan penting sebagai pemacu masa depan Sarawak, khususnya dalam meneruskan agenda pembangunan negeri serta mendepani perubahan ekonomi berasaskan teknologi dan inovasi.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, golongan muda merupakan aset penting negeri yang perlu bersedia menguasai kemahiran baharu bagi memenuhi keperluan ekonomi masa hadapan.

“Perkembangan pesat dalam bidang kecerdasan buatan (AI), teknologi canggih dan industri berasaskan tenaga hijau membuka peluang besar kepada anak muda Sarawak untuk mengambil bahagian dalam pembangunan ekonomi negeri,” katanya pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Kampung Stakan Melayu di sini, hari ini.

Menurutnya, Kerajaan Sarawak sedang mempergiat usaha menarik pelaburan dalam sektor berteknologi tinggi dan tenaga boleh diperbaharui bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, termasuk pekerjaan berpendapatan tinggi untuk rakyat tempatan.

Justeru, beliau menegaskan kepentingan golongan muda melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan, kemahiran teknikal dan keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi.

Beliau turut mengingatkan bahawa kesinambungan pembangunan Sarawak memerlukan penglibatan generasi muda yang bukan sahaja berkemahiran, malah mempunyai semangat perpaduan serta komitmen untuk berkhidmat kepada negeri.

Beliau turut menyifatkan golongan pemuda sebagai sebahagian daripada kekuatan parti dalam memastikan agenda pembangunan dan hala tuju Sarawak dapat diteruskan untuk generasi akan datang.