SIMANGGANG: Kerajaan Sarawak melalui Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) telah meluluskan pembinaan kompleks sukan di daerah Lingga bernilai RM20 juta.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, kompleks sukan akan terletak bersebelahan tapak Pejabat Daerah Baharu Lingga yang berkeluasan 20.14 ekar.
“Saya menghargai usaha Kerajaan Sarawak pimpinan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam merealisasikan impian masyarakat di DUN Lingga mempunyai sebuah kompleks sukan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa mempengerusikan mesyuarat penyelerasan cadangan pembinaan Kompleks Sukan Lingga di Wisma SADA, di sini, semalam.
Dayang Noorazah berkata, kompleks sukan itu nanti bakal memberi manfaat dalam melaksanakan aktiviti riadah termasuk penganjuran sukan yang berskala besar.