Kerajaan GPS fokus rapatkan jurang pembangunan

KUCHING: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memfokuskan dasar untuk mengecilkan jurang pembangunan di antara bandar dan luar bandar di negeri ini.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ini dimanifestasikan melalui peruntukan besar dalam Bajet 2023 dan Bajet 2024 bagi membangunkan kawasan luar bandar.

Ketika ini katanya, fokus kerajaan untuk menambahbaik infrastruktur, akses penjagaan kesihatan, menyediakan peluang pendidikan dan pendapatan, memperluaskan perkhidmatan internet dan digital kepada masyarakat luar bandar.

Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan itu berkata dalam Bajet 2023, sejumlah 60 peratus atau RM4.54 bilion perbelanjaan pembangunan diperuntukkan untuk pembangunan luar bandar namun telah meningkat kepada 63 peratus atau RM5.695 bilion dalam Bajet 2024.

“Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, RM44.28 bilion telah diluluskan untuk infrastruktur luar bandar iaitu untuk jalan dan jambatan.

“Di samping itu, sejumlah RM1.64 bilion juga telah diluluskan untuk program transformasi luar bandar,” katanya dalam perutusan Gawai Dayak 2024 di Kuching, di sini hari ini.

Beliau menjelaskan, bagi merancakkan pembangunan infra dan sosioekonomi secara menyeluruh, Premier Sarawak telah menubuhkan sembilan agensi pembangunan wilayah.

Senarai agensi tersebut adalah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA), Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA), Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA), Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA), Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA), Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA), Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA), Agensi Pembangunan Wilayah Tengah Rajang (MiRRDA) dan Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA).

“Setiap agensi diperuntukkan bajet yang belum pernah berlaku sebelum ini iaitu sebanyak RM1.5 bilion untuk menjalankan tugas masing-masing,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau berharap agar komuniti Dayak merakamkan penghargaan terhadap Kerajaan GPS kerana memberi keutamaan terhadap pembangunan di luar bandar.