Sebarkan kepentingan pendidikan di kampung ketika raikan Gawai Dayak

KUCHING: Warga Sarawak yang pulang ke kampung halaman ketika perayaan Gawai Dayak ini perlu menyebarkan kepentingan pendidikan di kampung masing-masing.

“Apabila sampai di kampung masing-masing nanti, saya dengan ini menyaran agar kita semua menjadi ejen pembangunan masyarakat dengan menyebarkan kepentingan pendidikan,” menurut Yang Di-Petua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam perutusan Gawai Dayak 2024.

Beliau berkata, dengan menyebarkan kepentingan pendidikan di dalam masyarakat dan kampung, mereka akan mempunyai kesedaran pentingnya pendidikan dan tidak ketinggalan menikmati arus kemajuan.

“Kita sebarkan tentang semua dan pelbagai inisiatif pendidikan yang dirancang oleh Kerajaan Sarawak yang diterajui Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg,” katanya.

Beliau berkata, antaranya tertubuh lima institusi pengajian tinggi milik Kerajaan Sarawak (iCats University College, Sarawak Skills, Centexs, Universiti Teknologi Sarawak dan Kolej Laila Taib).

Selain itu terdapat lima sekolah antarabangsa iaitu Yayasan Sarawak lnternational School di Petra Jaya, Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri yang juga milik Kerajaan Sarawak.

“Seiring dengan itu juga, janganlah kita menjadikan kemiskinan sebagai alasan untuk menafikan pendidikan anak-anak kita,” katanya.

Beliau mahu mereka menganggap kemiskinan itu sebagai cabaran dan bukan halangan terus ketinggalan serta sentiasa menyalahkan keadaan.