KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang giat membangunkan ekonomi hijau yang baharu bagi memastikan kualiti kehidupan rakyat terus meningkat.
Timbalan Premier yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED), Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan berkata, ini juga selaras perkembangan masa kini di peringkat global.
“Ia juga selaras dengan perkembangan dan halatuju global dalam menangani perubahan iklim dan pemanasan global,” katanya dalam perutusan Hari Gawai 2024 di sini, hari ini.
Awang Tengah berkata, di samping itu infrastruktur asas dan pengangkutan termasuk sistem telekomunikasi juga akan terus dipertingkatkan ditambah penekanan kepada pendidikan serta pembangunan bakat rakyat Sarawak.
“Ia adalah usaha kita untuk memajukan ekonomi digital demi meningkatkan pendapatan serta kesejahteraan hidup masyarakat di Sarawak,”ujarnya.
Sehubungan itu, bersempena sambutan Gawai Dayak 2024, Awang Tengah berkata, perayaan ini sememangnya ditunggu-tunggu masyarakat Sarawak kerana ia wadah penyatuan dan kebersamaan rakyat di wilayah ini.