KUCHING: Kerajaan Sarawak meletakkan dua syarat utama sebelum bersetuju menjadi hos bersama bagi penganjuran temasya Sukan Asia Tenggara atau Sukan SEA pada 2027.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, syarat tersebut adalah Sarawak akan menganjurkan beberapa jenis sukan dan majlis pembukaan diadakan di negeri ini.
“Pihak Putrajaya mencari hos bersama disebabkan bajet penganjuran (Sukan SEA) yang besar dan Sarawak ‘dirisik’ menjadi hos bersama dengan Kerajaan Persekutuan.
“Saya telah meletakkan syarat-syarat iaitu sebahagian acara sukan serta pembukaan Sukan SEA perlu diadakan di Sarawak dan itulah syarat Kerajaan Negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Larian Baton Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA XXI Sarawak 2024 Peringkat Bahagian Kuching di Tebingan Sungai Kuching di sini, hari ini.
Sebelum ini katanya, Sarawak dipelawa untuk menjadi tuan rumah bersama Kerajaan Persekutuan bagi menghoskan Sukan SEA 2027.
Jelasnya, tawaran kepada Sarawak kerana negeri ini mempunyai kekuatan kewangan yang kukuh untuk menjadi tuan rumah bersama bagi menganjurkan temasya sukan terbesar di Asia Tenggara itu.
Sementara itu ketika sidang media, Abang Johari menambah, pembelanjaan penganjuran Sukan SEA 2027 akan ditanggung bersama dengan separuh kos ditanggung oleh Kerajaan Sarawak.
“Mengikut anggarannya, kos anjuran lebih kurang RM750 juta jadi bermakna kita akan menanggung separuh daripada kos tersebut bagi Sukan SEA 2027,” kata Abang Johari.
Tambahnya, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah kini masih dalam perbincangan dengan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh bagi menentukan jumlah acara yang akan dipertandingkan di Sarawak.
Kira-kira 1000 warga Kuching turut sama memeriahkan larian terakhir bagi mempromosi SUKMA dan Para SUKMA XXI Sarawak 2024.
Larian sejauh 4.1 kilometer (km) itu diketuai jaguh tinju Sarawak, Daeloniel McDelon Bong (Kilat Boy).
