Pergerakan Wanita Parti PBB fokus Program Sarawak Kamek Empun 2.0

SIBU: Program Sarawak Kamek Empun (SKE) 2.0 menjadi fokus utama Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bagi membekalkan maklumat
terkini kepada wanita di peringkat akar umbi.

Ketua Pergerakan Wanita Parti PBB, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, Majlis Tertinggi ( MT) Wanita akan turun padang menyampaikan maklumat usaha dan inisiatif kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dari segi perkembangan ekonomi dan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS2030) kepada rakyat.

Katanya, ia menunjukkan halatuju dan strategi untuk Sarawak mencapai aspirasinya sebagai negeri maju menjelang tahun 2030.

Menurut beliau, setakat ini tiga cawangan telah mengadakan SKE dimulai kawasan Demak, kemudian Mulu dan Simunjan.

“Salah satu objektifnya untuk memastikan bahawa sayap wanita kita sentiasa aktif dan sentiasa relevan bukan sahaja waktu pilihanraya tapi sepanjang masa dengan strategi dengan perkara-perkara yang kita bincang di peringkat cawangan semasa SKE itu diadakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Wanita PBB Bil.2 di Hotel Tanamas Sibu, semalam.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak menambah program SKE 2.0 di kawasan lain akan diadakan dalam masa terdekat di dalam bulan berbeza sehingga tahun hadapan di mana pengisiannya tertakluk kepada keperluan dan isu yang ada di kawasan tersebut.

Terdahulu beliau meminta Pergerakan Wanita Parti PBB bersiap sedia dari sekarang untuk menghadapi pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Jelas beliau lagi, pertambahan pengundi dalam daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) susulan pendaftaran automatik undi 18 harus diberi perhatian di mana setakat 21 Disember 2023 jumlah pengundi dalam daftar pemilih SPR adalah seramai 1,982,400 orang.

“Dulu antara aktiviti yang kita jalankan adalah dibawah pergerakan wanita PBB ialah untuk mendaftar pengundi.

“Sekarang tidak perlu lagi sebab automatik, jadi bilangan pengundi bertambah kemudian undi ada yang nanti pastinya jadi pengundi baru dari kalangan belia.”

Seramai 38 orang ahli dari majlis tertinggi hadir dan ia merupakan mesyuarat kelima bagi tahun 2024 yang pertama kali diadakan di luar daripada Kuching.