Sarawak menandatangani pengambilan rasmi bank perdagangan 19 Julai ini

KUCHING: Premier Sarawak membayangkan Sarawak akan mengambil alih sebuah bank perdagangan di negara ini sebagai satu entiti untuk ditadbir
selewat-lewatnya pada tahun ini.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, majlis menandatangani pengambilalihan
secara rasmi itu bakal dilakukan pada 19 Julai ini.

“Dengan pengambilalihan itu, bermakna kita mempunyai majoriti dalam bank berkenaan.

“Dan kita (Sarawak) akan menjadi pemain dominan dalam perniagaan perbankan di Malaysia. Insya-Allah, Sarawak memain peranan penting dalam industri perbankan,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Pengumuman Dividen Kali Kedua ASSAR di Pusat Acara Hikmah Exchange di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak; Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Pengerusi Kumpulan Syarikat Permodalan ASSAR; Dato Sri Wahab Dolah serta Peguam Besar Negeri Sarawak yang Ahli Lembaga Pengarah ASSAR,
Datu Saferi Ali.

Terdahulu, Abang Johari mengumumkan dividen akhir Amanah Saham Sarawak (ASSAR) iaitu tambahan sebanyak 3.5 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024.

Pengagihan kali kedua bagi tahun kewangan terbabit akan melibatkan pengagihan sebanyak RM16.39 juta kepada 57,542 pelabur pada 30 Jun 2024.