RM160 juta naik taraf jalan raya

MIRI: Sebahagian daripada jalan pesisir antara Kampung Bakam ke simpang Sepupok di Niah akan dinaik taraf, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan berkata, projek berharga RM160 juta yang dibiayai oleh Kerajaan Sarawak itu, setakat ini masih dalam peringkat perancangan.

“Kita berharap dapat membuka tender bagi projek berkenaan dalam masa sebulan lagi,” katanya selepas merasmikan pembukaan gereja Borneo Evangelical Missionary (BEM) berharga RM850,000 di Saeh, Bekenu di sini.

Beliau menjelaskan, terdapat juga projek yang dibaiayi oleh Kerajaan Persekutuan iaitu menaik taraf jalan dari Rambai ke Kampung Bulau di Bekenu.

Projek berharga RM60 juta itu kini dalam proses menyediakan tender, katanya dan berharap tendernya akan dipanggil dalam masa terdekat.

Uggah turut memberitahu, Kerajaan Sarawak juga meluluskan pembinaan sebuah jambatan berharga RM10 juta di Kampung Balau juga di Bekenu.

“Kita berharap tender pembinaannya akan dibuka pada September tahun ini,” tegas beliau.

Berucap pada majlis itu, Uggah berkata, Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) berhasrat membina jalan raya untuk menghubungkan lebih 5,000 rumah panjang dan kampung menjelang 2030.

Untuk mencapai matlamat itu, katanya, rakyat tanpa mengira bangsa dan agama harus hidup bersatupadu dan menyokong dasar kerajaan serta menolak kumpulan yang mahu memecahbelahkan rakyat.

Mengenai gereja baharu itu, Uggah yang juga menteri bertanggungjawab terhadap Unit Hal Ehwal Agama-agama Lain (UNIFOR) berkata, UNIFOR akan terus membantu membangunkan rumah ibadah masyarakat bukan Islam.

“Berhubunglah dengan pemimpin GPS di kawasan masing-masing untuk mendapat bantuan memohon peruntukan daripada UNIFOR,” katanya.

Beliau turut mengumumkan geran sebanyak RM72,000 untuk Rh Ayai Sawing sepanjang 24 pintu di Saeh.

Hadir sama Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Rosey Yunos dan Pengarah UNIFOR, Datuk Georgina Apphia Ngau.