KUALA LUMPUR: Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) menjadi gergasi dalam sektor pengeksportan bahan pada 2023.
Senator Dato Ahmad Ibrahim berkata, syarikat itu telah menghasilkan sebanyak RM770 juta dalam sektor terbabit tahun lalu.
“BPHB menjadi gergasi dalam sektor pengeksportan bahan seperti Kargo Kontena, Gas Asli Cecair (LNG), kelapa sawit, arang batu dan produk kayu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang Pengisytiharan Suatu Kawasan Dalam Daerah Bintulu Menjadi Suatu Port Persekutuan (Pemansuhan) 2024 di Parlimen, di sini, hari ini.
Ahmad Ibrahim berkata, bukan sahaja industri LNG, malah Bintulu turut menjadi pusat sehenti kepada logistik industri minyak dan gas di Sarawak dan Malaysia.
Sehubungan itu, beliau secara dasarnya amat menyokong penuh pemansuhan akta terbabit sejajar komitmen Kerajaan Persekutuan dalam melaksanakan Perjanjian Malaysia (MA63).
“Perdana Menteri dan Premier Sarawak seharusnya dan selayaknya diberi pujian kerana komitmen mereka,” katanya.
Katanya, ini dalam memastikan perkara itu dapat dinoktahkan dengan penuh kesefahaman di antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Sarawak.
