Bahagian Kuching catat pembakaran terbuka tertinggi, Kapit tiada kes

KUCHING: Bahagian Kuching merekodkan jumlah kes kebakaran terbuka paling tinggi iaitu sebanyak 20 kes dari 22 hingga 29 Julai 2024.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak, PPjB Tiong Ling Hii berkata, ini diikuti Bahagian Miri
dengan 16 kes dan Mukah (12).

“Sehingga kini Kapit
merupakan satu-satunya bahagian yang tiada berlaku kes kebakaran terbuka sepanjang tempoh cuaca panas dan kering tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam laporan statistik kebakaran terbuka di Sarawak bagi tempoh lapan hari itu.

Tiong berkata, tanda-tanda positif dari segi jumlah kes kebakaran terbuka yang direkod JBPM Sarawak, iaitu berlaku penurunan ketara dalam jumlah kes yang berlaku sepanjang tempoh dua hari lalu.

“Data menunjukkan berlaku penurunan kes sebanyak 46 peratus yang dicatatkan pada 29 Julai lalu berbanding jumlah kes yang dicatatkan pada 28 Julai lalu,” katanya.

Menurutnya, beberapa faktor dikenal pasti punca penurunan kes seperti faktor hujan di beberapa kawasan di Sarawak menyebabkan keadaan belukar atau hutan menjadi lembap dan melambatkan proses pembakaran.

Katanya, ini juga kerana faktor peranan pihak media yang mengeluarkan artikel hentikan aktiviti pembakaran terbuka telah banyak membantu mengurangkan aktiviti itu.

Selain itu, sebanyak 38 balai bomba dan 59 Pasukan Bomba Sukarela turut digerakkan untuk membantu memantau dan memberi nasihat kepada penduduk untuk menghentikan aktiviti itu.

CARTA: JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT MALAYSIA NEGERI SARAWAK