SEOUL: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mengetuai delegasi dari Sarawak mengadakan mesyuarat dengan KH Shinhwa di Seoul, Korea Selatan semalam.
Shane Kang dari KH Shinhwa SnC menyatakan minat untuk menerokai peluang kolaborasi dan pelaburan dengan Sarawak Energy Berhad (SEB) dalam projek peningkatan keselamatan tenaga termasuk pelaburan dalam teknologi baharu dan penyelesaian penjanaan tenaga.
KH Shinhwa kini berkolaborasi dengan SEB dalam projek penyelesaian hibrid microgrid solar dengan nilai pelaburan USD7 juta. Hasil daripada projek itu dijangka menyedia penyelesaian kelestarian tenaga alternatif dan merangka arah teknologi tenaga diperbaharui.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Dr Ripin Lamat, Penasihat Perusahaan Kecil dan Sederhana Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Dato Sri Mohd Naroden Majais dan pegawai kanan kerajaan.