KUCHING: Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) meluluskan pemberian lesen bagi peruncitan gas kepada 13 syarikat pemain industri huluan gas.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, ini bagi membolehkan mereka menjalankan aktiviti bekalan dan penjualan gas asli kepada pengedar tunggal gas di Sarawak sejajar Seksyen 7(g) Ordinan Pengedaran Gas 2016.
”Selepas menerima lesen runcit, pemain industri huluan gas itu harus mematuhi terma dan syarat lesen dan menandatangani Perjanjian Pembelian Gas (GPA) dengan PETROS selewat-lewatnya 1 Oktober 2024,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Penyerahan Lesen Pengagihan Gas kepada 13 syarikat, di sini, hari ini.
Julaihi menjelaskan, terdapat dua lagi syarikat masih lagi dalam proses penelitian dan dijangka menerima lesen dalam masa terdekat.
Antara menerima lesen ialah Petroleum Sarawak Exploration and Production (PSEP) Sdn Bhd; PTTEP Sarawak Oil Limited; SAPURA OMV Upstream (Sarawak) Inc; Sarawak Shell Berhad, PETRONAS Carigali Sdn Bhd dan PT Pertamina Malaysia Eksplorasi Produksi.
Selain itu, Diamond Energy Sarawak Sdn Bhd; Mubadala Energy Ltd; ROC Oil (Sarawak) Sdn Bhd; JX Nippon Oil & Gas Exploration (Malaysia) Limited; Dialog Resources Sdn Bhd; Vestigo Petroleum Sdn Bhd (VPSB) dan E&P Malaysia Venture (EPMV) Sdn Bhd.
Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak), Datuk Abdullah Saidol; Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi dan Pengarah Pengedaran Gas PETROS, Kasvenda Kassim.
