Terokai peluang hasilkan biomass dari kayu terbuang

PUTRAJAYA: Masyarakat luar bandar Sarawak disaran meneroka peluang menjadikan lobak atau kayu yang tidak digunakan kepada biomass.

Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, ini kerana kawasan mereka banyak lobak yang boleh dikumpulkan dan diproses menjadi biomass yang banyak dieksport ke Korea dan Jepun.

“Pada masa ini, kita sudah banyak menggunakan biomass di Semenanjung dan permintaannya banyak sebenarnya, tetapi bekalan tidak cukup,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan rombongan ahli Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Bukit Goram yang mengadakan lawatan sambil belajar di Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), di sini, semalam.

Selain itu, Fadillah juga mengesa mereka mengambil peluang menerokai potensi besar ternakan ikan air tawar di darat terutama ikan empurau, semah dan
sebagainya.

Menurutnya, generasi muda yang berminat boleh bekerjasama atau mendapatkan khidmat nasihat pakar daripada institusi pengajian tinggi (IPT) berkaitan teknik dan teknologi terkini dalam penternakan ikan air tawar seperti empurau.

“Kalau masih segar sekilo (ikan empurau) di Semenanjung boleh mencecah RM1,000.
“Ada empat restoran yang boleh membeli (di Semenanjung) pada masa ini tetapi ikan tidak cukup,”katanya.

Tambahnya, mereka yang mahu makan ikan terbabit termasuk dari China juga sanggup membayar harga mahal sehingga RM2,000 ke RM4,000.