Projek jalan hubung Sibu Jaya ke Kong Yit Kim siap lebih awal

SIBU: Projek pembinaan jalan menghubungkan Sibu Jaya ke Kong Yit Kim dijangka siap pada November ini, sebulan lebih awal daripada perancangan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, projek berharga RM104.4 juta itu dijadual siap pada Disember 2024 namun kontraktor komited menyelesaikannya lebih awal.

“Kami sangat gembira melihat kemajuan ini. Pada awalnya terdapat beberapa halangan, tetapi kontraktor yang berpengalaman telah berjaya mengatasinya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat tapak projek jalan sepanjang 6.75 kilometer (km) di sini, hari ini.

Menurut Uggah, projek jalan ini dijangka memberi impak ekonomi yang signifikan kepada kawasan sekitar.

Selain menyediakan kemudahan jalan raya yang lebih baik, jalan itu nanti turut berperanan merangsang ekonomi tempatan, memberikan manfaat kepada pemilik perniagaan kecil, pekerja dan keluarga mereka.

Beliau turut menjelaskan dasar baharu yang mewajibkan kontraktor memulakan kerja dalam tempoh sebulan selepas serahan projek. Kegagalan mematuhi arahan ini boleh mengakibatkan penamatan kontrak lebih awal.

Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata, dasar ini bertujuan memastikan semua projek infrastruktur disiapkan tepat pada masanya, sambil mengekalkan keyakinan rakyat terhadap komitmen kerajaan dalam pembangunan negeri.

Selain itu katanya, pihak kementerian turun padang ke Miri, Bintulu, Mukah, Kapit, Sibu dan Sarikei untuk mengumpul data yang tepat mengenai kesalinghubungan jalan raya.

Turut hadir Timbalan Menteri Infrastruktur Dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Ir. Aidel Lariwoo dan Pengarah JKR Sarawak Ir. Ts. Gs. Br. Dr Cassidy Morris.