15,000 permohonan diterima, 1,134 jawatan kosong ambilan khas Guru Sarawak 2024

KOTA SAMARAHAN: Setakat ini sebanyak 15,000 permohonan diterima bagi mengisi 1,134 jawatan kosong pengambilan khas Guru Sarawak 2024.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee berkata, ini adalah satu persaingan yang sengit dan berharap graduan yang tidak berjaya tidak putus asa.

Pemilihan bukan berdasarkan keputusan akademik semata-mata kerana Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) akan menemu duga mereka mengenai pedagogi, kebolehan dan mengendalikan diri semasa temu duga kelak, katanya.

Ditemui media selepas menyaksikan upacara menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di Dewan Tunku Abdul Rahman Putra (DeTAR Putra), di sini, beliau berkata, pengambilan kali ini juga akan melihat tempat asal pemohon bagi tujuan penempatan calon guru.

“Kita akan lihat dari mana asal pemohon supaya dapat mengajar di kampung halaman sendiri supaya mereka menetap di sana,” katanya.

Katanya, melalui pengambilan khas berkenaan, pihaknya komited menyelesaikan masalah kekurangan guru di wilayah ini memandangkan perkara itu sudah lama berlarutan.

Pengambilan khas guru baharu itu adalah terbuka kepada semua graduan ijazah sarjana muda pendidikan dan juga graduan ijazah sarjana muda bukan pendidikan.

Permohonam dibuka mulai 1 Ogos hingga 23 Ogos 2024.

Calon yang berminat hendaklah mengemukakan permohonan secara dalam talian MySPP menerusi https://myspp.spp.gov.my/myspp/index.php.

Sesi temu duga bakal dilaksanakan pada minggu kedua September ini manakala keputusan akan diumumkan pada Oktober atau November, dengan penempatan disasarkan pada November dan Disember.

Sementara itu, dalam ucapan aluan, beliau berkata perkongsian Program Apprentis antara Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Sarawak, Kumpulan Affin Bank dan UNIMAS mencerminkan langkah ke hadapan signifikan dalam membina bakat dan tenaga kerja inovatif di Sarawak.

Katanya, melalui Program Apprentis itu bukan hanya manfaat pelajar tetapi juga memberi sumbangan kepada pertumbuhan dan pembangunan sektor kewangan negeri.

Kolaborasi antara MEITD, Kumpulan Affin Bank dan UNIMAS melambangkan pendekatan pandangan masa hadapan kepada pembangunan pendidikan dan tenaga kerja, katanya.

Majlis menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) Program Apprentis MEITD itu di antara Affin Bank Bhd dan UNIMAS.