SUKMA: Pasukan muay thai Sarawak sasar raih lebih dua pingat emas

BINTULU: Penambahan kategori baharu acara muay thai dijangka memberi peluang lebih besar buat Sarawak menambah koleksi pingat emas di Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024.

Ketua Jurulatih Muay Thai Sarawak, Muhammad Azan Mohd Nazri berkata, kategori baharu itu adalah seperti Waikaru dan Muay Boran.

Katanya, ini berikutan keyakinan prestasi semasa atlet yang sangat memberangsangkan, terutamanya selepas mereka menjalani kem latihan intensif di Thailand dan Kelantan.

“Kami pada awalnya mensasarkan dua pingat emas, namun saya yakin Sarawak mampu meraih lebih daripada itu,” katanya

Beliau berkata demikian selepas Majlis Makan Malam dihoskan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu, Johnny Pang Leong Ming, bersama atlet Muay Thai Sarawak di Fairfield by Marriott Bintulu Paragon, di sini malam tadi.

Muhammad Azan berkata, dalam tempoh dua bulan terakhir ini juga atlet mereka telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam beberapa kejohanan di Thailand, termasuk memenangi tali pinggang di Texas dan stadium-stadium besar.