Graduan IKMAS dinasihat tuntut ilmu hingga peringkat PhD

KUCHING: Graduan diploma dan sijil Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS) dinasihat tidak berhenti di institut itu dalam perjuangan menuntut ilmu.

Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, sebaliknya mereka diminta menuntut ilmu setinggi mungkin sebagaimana yang telah dicapai alumni-alumni IKMAS terdahulu.

“Belajarlah sehingga sampai ke peringkat PhD kerana tidak ada yang mustahil jika kita memiliki jiwa besar serta cita-cita tinggi,”katanya.

Beliau berkata demikian di Istiadat Konvokesyen Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS) Ke-20 di sini, hari ini.

Seramai 53 graduan menerima Diploma Pengajian Dakwah Islamiyyah dan 14 orang menerima Sijil Pengajian Islam IKMAS.

Wan Junaidi berkata, pihaknya juga ingin melihat Syeikh Hj Othman bin Abdul Wahab baharu dalam dunia moden ini yang lahir dari bumi Kenyalang.

“Tidak mustahil jika dia lahir daripada IKMAS ini,”katanya.

Di samping itu, beliau juga mengharapkan graduan yang telah menjadi alumni IKMAS akan menjadi duta dalam masyarakat dan menjadi cerminan dan teladan kepada masyarakat.