UiTM anjur program CDBK, pererat hubungan dengan rakan strategik

KUCHING: Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak menganjurkan program ‘Come Discover Bumi Kenyalang 2024’ (CDBK 2024) mulai 11 hingga 17 Ogos ini.

Program mobiliti pelawat antarabangsa itu merupakan usaha UiTM Global Cawangan Sarawak dan Pejabat Pendaftar UiTM Shah Alam.

Ia adalah sebahagian daripada Projek Khas: Embracing Global 4 Supporting Staff (Supporting Staff Mobility Programme) Naib Canselor, UiTM.

Peserta yang menyertai program itu merupakan mahasiswa antarabangsa dan kakitangan dari universiti masing-masing.

Universiti itu termasuk University of Management Cambodia, China Baise University, Quanzhou Technical & Vocational University, Universitas Sebelas Maret dan Universitas Panca Bhakti, Pontianak, Indonesia.

Salah satu daripada matlamat program itu untuk mengeratkan hubungan dengan rakan strategik antarabangsa dalam usaha meningkatkan peluang pembangunan bakat dan memupuk penghargaan, sumbangan dan daya saing global.

Pemangku Rektor UiTM Cawangan Sarawak, Profesor Bersekutu Dr Mohammad Isa Mohamaddin merasmikan program itu di sini hari ini.