25 tokoh alumni UiTMCS terima anugerah

KUCHING: Universiti Teknologi MARA Cawangan Sarawak (UiTMCS) menyampaikan anugerah kepada 25 tokoh alumni universiti tersebut.

Pro-Canselor UiTM, Datuk Wahab Abdul Aziz menyampaikan anugerah tersebut sempena Malam Gala Sambutan 25 tahun UiTM Sebagai Sebuah Universiti, di sini, malam tadi.

Turut menerima anugerah ialah enam wakil organisasi dan industri yang banyak menjalin kerjasama dengan UiTMCS.

Organisasi terbabit termasuk Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA), ANT Supplies Sdn Bhd, Green Diamond Estate Sdn Bhd, Pejabat Residen Bahagian Samarahan, Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak dan Idris Ibrahim & Co.

Sehubungan itu, Wahab menggesa warga universiti itu mengekalkan kerjasama utuh bersama industri, komuniti dan juga alumni.

Katanya, kerjasama erat ini akan memudahkan universiti itu sebagai penyedia pendidikan tinggi kepada pelajar selain menyumbang kepada masyarakat dan negara.

Sementara itu, Timbalan Rektor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Profesor Madya Ts. Chm. Dr. Mohammad Isa Mohamadin berkata, UiTM sentiasa fokus pada misi untuk menyediakan pendidikan berkualiti, memupuk penyelidikan dan inovasi serta menyumbang kepada masyarakat dan negara.

“Semua pelajar dan alumni UiTM adalah tujuan sebenar kami berusaha untuk kecemerlangan setiap hari,” katanya.

Menurutnya, pencapaian dan kejayaan merupakan bukti kualiti pendidikan dan persekitaran UiTM.