Hayati erti kemerdekaan, pertahankan keharmonian

SIBU: Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Sibu mahu semua pihak mempertahankan kemerdekaan negara yang sedang dikecapi.

Pengerusinya, Datin Sharifah Zaidah Syed Abdul Aziz berkata, ini khususnya di Sarawak sebagai negeri yang sangat unik dihuni penduduk daripada pelbagai etnik.

“Namun kesepaduan sosial yang terbina selama ini banyak menyumbang kepada perpaduan nasional dan pembentukan identiti bangsa Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Peringkat Daerah Sibu 2024 di bangunan PERKIM Sibu, di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN), Helmy Hamid menggesa seluruh rakyat Malaysia khususnya di Sibu mengibarkan Jalur Gemilang di bangunan kerajaan, sekolah, gedung membeli belah, kawasan perumahan, kampung, rumah panjang, mahupun di sepanjang jalan raya.