PPRMS: 33 projek baik pulih rumah DUN Satok dilaksana

KUCHING: Sebanyak 33 projek membaiki rumah dilaksanakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok, di sini, setiap tahun.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Dato Ibrahim Baki berkata, projek ini melalui dana Program Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) yang diperoleh menerusi Kerajaan Sarawak.

“Setakat ini kita sudah membina beberapa rumah, salah satunya di Kampung Segedup selepas rumah sedia ada musnah dalam kebakaran,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis penyerahan kunci rumah baharu oleh Pengarah Urusan Ibraco Berhad, Datuk Chew Chiaw Han kepada 10 mangsa kejadian ribut pada Mei lalu di Kampung Kudei Lama Tengah, Satok, di sini, pagi tadi.

Ibrahim berkata, pembinaan rumah baharu itu melalui projek tangungjawab sosial koporat (CSR) oleh Ibraco Berhad berkeluasan 850 kaki persegi.

Projek itu mengambil masa masa selama tiga bulan untuk disiapkan membabitkan kos sebanyak RM95,000.

Sementara itu, berhubung isu banjir di Kampung Kudei, beliau menjelaskan fasa kedua projek tebatan banjir akan dilaksanakan tidak lama lagi menerusi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) diterajui Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya.

“Ini bukan sahaja meliputi Kampung Kudei malah Kuching secara keseluruhannya dan pada masa sama, kerja-kerja berterusan oleh kedua-dua Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk menambah baik saliran di kawasan itu,”katanya.

Beliau berkata ini dengan menukar paip air serta kerja-kerja menggali untuk memasang paip yang lebih besar bagi meningkatkan aliran air.