BDDA pelajari sektor pertanian Thailand

BANGKOK: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas mengetuai ahli jawatankuasa pemandu projek inovasi dan sosioekonomi Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) dalam lawatan sambil belajar selama seminggu ke Thailand.

Bersama rombongan Uggah yang juga Pengerusi BDDA dalam lawatan itu ialah dua Ahli Parlimen, tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di bahagian Betong serta pegawai kanan dari jabatan berkenaan.

Semalam, mereka melawat dua pasar produk pertanian segar iaitu Tallad Thai dan Or Tor Kor dan pasar makanan tempatan di bandar raya Bangkok.

Talaad Thai yang mempunyai 100,000 peniaga adalah pasar borong pertanian terbesar di wilayah ASEAN.

Terletak di kawasan seluas 101 hektar di Pathun Thani, pasar itu mengendalikan 12,000 tan hasil pertanian setiap hari dengan jualan harian 290 juta Baht (kira-kira RM37 juta).

Hari ini rombongan itu melawat Pusat Sains Betagro di Wilayah Lopburi, makmal ujian ternakan dan makanan yang memiliki sijil ISO/IEC 17075.

Untuk mendapat gambaran lebih dekat industri kelapa Thai, mereka akan melawat Thai Coconut Co. Ltd. dan loji pemprosesan kelapa di Ratchaburi esok.

Selain itu, mereka akan melawat ladang Chokchai, Saithong dan Punawapan untuk menimba pengalaman dan perspektif agropelancongan.