Para SUKMA perkukuh kerjasama, semangat perpaduan masyarakat

KUCHING: Temasya Para Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024 mencerminkan kepentingan sukan sebagai asas untuk memperkukuh kerjasama dan semangat perpaduan dalam masyarakat.

Selain itu, ia landasan untuk mengetengahkan bakat atlet-atlet orang kelainan upaya (OKU).

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, semangat kesukanan yang ditunjukkan melalui penganjuran Para SUKMA ini bukan sahaja memupuk rasa saling menghormati tetapi menjadi asas kepada kestabilan dan kesejahteraan negeri serta negara.

“Ia merupakan aspek penting untuk memastikan kestabilan negeri dan negara dan rakyat dapat hidup dalam suasana harmoni,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg merasmikan Majlis Makan Malam Para SUKMA XXI Sarawak 2024 di Hikmah Exchange malam tadi.

Katanya, Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti telah melaksanakan program inisiatif bagi golongan atlet OKU sebagai tumpuan utama.
“Ia menjadi tanggungjawab semua pihak untuk bersama-sama memberi sokongan kepada atlet istimewa ini kerana mereka merupakan aset yang sangat bernilai bagi negara ini,” katanya.

Terdahulu, Awang Tengah telah menyampaikan cenderamata kepada Chef de Mission (CDM) dari setiap negeri semasa majlis berlangsung sebagai simbol mengalu-alukan kedatangan mereka ke Bumi Kenyalang.
Hadir sama Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri Belia Dan Sukan Hannah Yeoh, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Datuk Rosey Yunus, Timbalan Menteri Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap CDM Kontinjen Para SUKMA Sarawak Datuk Muhammad Razi Sitam, Timbalan Menteri Belia Dan Sukan Adam Adlii, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Para SUKMA 2024, Datu Hii Chang Kee, Exco Pendidikan.