BINTULU: Kewujudan Pangkalan Bekalan Minyak dan Gas Borneo di Pelabuhan Bintulu di sini akan menjadi daya tarikan kepada pelabur dari Jepun dan Korea, kata Premier Sarawak.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pelaburan dari Jepun dan Korea berkaitan hidrogen di negeri ini akan memacu Bintulu dalam industri tersebut bahkan di seluruh rantai ini.
“Industri minyak dan gas akan turut berkembang pesat dengan kewujudan pangkalan berkenaan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pembukaan Pangkalan Bekalan Minyak dan Gas Borneo di Pelabuhan Bintulu Sdn Bhd di sini, hari ini.
Menurut beliau, pangkalan itu penting untuk memenuhi keperluan dari segi bahan yang digunakan dalam industri minyak dan gas.
Dengan memiliki lebih 60 peratus rizab gas di negara ini, beliau menegaskan, masih banyak aktiviti termasuk aktiviti penerokaan sedang dan akan giat dijalankan di negeri ini yang memerlukan perkhidmatan daripada pangkalan tersebut.
Premier Sarawak turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan khasnya Kementerian Kewangan melalui Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang memberi lesen kepada Pelabuhan Bintulu untuk mewujudkan Pangkalan Bekalan Minyak dan Gas Borneo.
“Ini akan menempatkan Bintulu sebagai tempat untuk industri minyak dan gas dan juga industri berkaitan untuk mendapatkan bekalan atau barangan,” katanya.
Tambahnya, Sarawak mempunyai kelebihan dalam industri perkapalan yang telah ditransformasi menggunakan tenaga boleh diperbaharui iaitu methanol dan ammonia.
“Maknanya kita menyediakan perkhidmatan kepada industri perkapalan dengan Bintulu adalah laluan strategik perkapalan antarabangsa.
“Kita mempunyai apa yang diperlukan termasuk mempunyai kelebihan dari sudut lokasi, sumber dan juga tenaga yang kita latih untuk membekalkan keperluan dalam industri baharu ini,” tambahnya.
Hadir sama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar dan Setiausaha Kerajaan Sarawak merangkap Pengerusi Bintulu Port Holdings Berhad Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.