KOTA SAMARAHAN: Sarawak akan menggunakan perkhidmatan kargo udara bagi menghantar hasil pertaniannya ke hab utama iaitu Singapura.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, kaedah ini akan mempercepatkan proses pengangkutan dan membuka lebih banyak peluang kepada petani Sarawak memasarkan hasil mereka ke pasaran antarabangsa.
Justeru, beliau meminta Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS) untuk melakukan pengiraan kos penyewaan kargo udara bagi merancang belanjawan dan memastikan jumlahnya tidak melebihi pulangan yang dijangka.
Sebagai permulaan katanya, kaedah sewaan akan digunakan berbanding membeli kargo udara untuk mengelak kos terlalu tinggi.
“Kita buat percubaan dalam tempoh suku pertama dahulu. Jika pasaran memberi tindak balas yang baik, kita akan menambah lebih banyak lagi sewaan penerbangan.
“Justeru, kiralah. Conto berapa jumlah ikan atau buah-buahan boleh dihantar, berapa sewa untuk dua kali perjalanan dalam sehari…masukkan ke dalam senarai belanjawan kerana saya akan terus memberi peruntukan RM10 juta setahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Bangunan Baharu PPNS & Mesyuarat Agung Tahunan PPNS Ke-39 di Bangunan PPNS, Jalan Muttaqin di Kota Samarahan hari ini.
Abang Johari memberitahu, bangunan baharu PPNS yang berharga RM20 juta itu dilengkapi dengan kemudahan terkini untuk membolehkan petani menjual dan membeli hasil-hasil pertanian.
Katanya, pembinaan bangunan baharu itu diluluskan sebagai usaha untuk mewujudkan imej baru peladang.
“Ini adalah suntikan untuk kita mengubah imej dan karier masyarakat petani, serta sudah tentu berkehendakkan satu dasar yang menyeluruh,” katanya lagi.
Abang Johari turut menyaksikan penyerahan Sumbangan Tabung Wang Pendidikan Sempena MAT PPN pada 2024.
Turut hadir ialah Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah merangkap Pengerusi PPNS Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail, Timbalan Menteri Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Martin Ben, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang Dato’ Idris Buang, Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak) Tan Sri Dato Sri William Mawan Ikom.