KUCHING: Seramai 401 pelajar baharu Kolej SIDMA Sarawak melafaz ikrar sebagai simbolik perjanjian di antara pelajar dan pengurusan kolej berlangsung di bangunan Pertubuhan Anak Seni Bandarshah Kuching (PASBK) di sini, hari ini.
Mereka merupakan pelajar baharu dalam pelbagai bidang bagi program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), pra ijazah, diploma dan ijazah sarjana muda bagi kemasukan November 2023 sehingga pengambilan khas November 2024.
Majlis bacaan ikrar pelajar baharu itu dihadiri Ketua Pegawai Kewangan Universiti Tun Abdul Razak(UNIRAZAK), Firdaus Jamal dan turut dihadiri Konsultan Kolej SIDMA Sarawak, Prof Dr Fatimah Bujang, Pengerusi Kolej SIDMA Sarawak, Marzuki Uni, Pengarah Kewangan kolej, Hanizah Mohidin, Ketua Eksekutif, Nandy Marlina Saar serta staf pengurusan kolej.
Dalam ucapan ringkas Firdaus, beliau mengingatkan pelajar agar mengenang jasa dan pengorbanan ibu bapa yang mengasuh dan mendidik mereka sejak kecil.
Menurutnya, segala ilmu yang diperoleh nanti akan masuk ke ‘akaun guru’ mengajar sejak kecil iaitu ibu bapa.
“Nasihat saya hanya satu iaitu segala ilmu dan pahala kamu belajar, berbakti kepada masyarakat akan masuk ke akaun guru mengajar kamu mengenal alif, ba, ta, a,b,c dan 1, 2,3 iaitu ibu bapa.
“Tanpa ibu bapa mengajar kita mengenal semua ini dan setinggi mana kamu terbang maka ingatlah orang tua kita,” katanya.
Beliau turut menasihati pelajar baharu agar menjadikan lafaz ikrar itu sebagai titik permulaan untuk mencapai impian dan kejayaan sebaik sahaja diterima masuk ke Kolej SIDMA.
“Berikan komitmen dan dedikasi selama tiga hingga empat tahun menimba ilmu di kolej ini,” katanya.
Sementara itu, pelajar baharu tersebut menyifatkan Kolej SIDMA antara kolej pilihan mereka untuk melanjutkan pengajian dalam jurusan pendidikan awal kanak-kanak.
Nur Izzattul Zulizam Zamri,18, dari Sri Aman memberitahu dia meminati jurusan pendidikan awal kanak-kanak kerana mahu menjadi guru. Oleh kerana, kolej berkenaan turut menawarkan pengajian itu, maka dia mengambil keputusan untuk menyambung pengajiannya dalam Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak selama dua tahun setengah.
Sementara Nurdiatulisa Abdullah, 18, dari Sarikei mengambil jurusan asasi seni selama setahun dan akan menyambung ijazah dalam pendidikan.
Abang Shahmin Abg Sapunie,21, dari Betong turut mengambil jurusan sarjana muda pendidikan selama tiga tahun.
Joseph Man, 19, dari Miri turut menjadikan bidang pendidikan sebagai pilihan utama di kolej tersebut.
Peter Julin Kutok,23, dari Saratok gembira kerana berjaya menempatkan dirinya sebagai pelajar sarjana muda pendidikan kerana minat menjadi pendidik.