Pelaburan dalam Affin Bank percepatkan pertumbuhan ekonomi baharu Sarawak

KUCHING: Kolaborasi Kumpulan Affin Bank dengan Kerajaan Sarawak akan mempercepatkan pertumbuhan ekonomi baharu khususnya ekonomi hijau dan tenaga diperbaharui di negeri ini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Kerajaan Sarawak bersedia membeli pegangan dalam Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) selepas mendapati Affin Bank menunjukkan prestasi yang meyakinkan sejak ditubuh.

“Pada suku kedua tahun ini, Affin Bank memiliki aset lebih RM100.82 bilion,” katanya pada majlis menyaksikan pemetarian perjanjian jual beli dengan LTAT di sini hari ini.

Kerajaan Sarawak diwakili oleh Setiausaha Kewangan Negeri, Dato Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar dan Affin Bank diwakili oleh Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Affin Bank, Datuk Wan Razly Abdullah.

Hadir sama Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohmad Abu Bakar Marzuki dan Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari.

Abang Johari menegaskan, Kerajaan Sarawak yang membeli pegangan 31.25 peratus dalam Affin Bank turut yakin bank terbabit dapat membantu dalam membangunkan Industri Kecil dan Sederhana (PKS) dan ekonomi baharu yang Sarawak rancangkan.
“Ini akan memberi manfaat kepada PKS dan rakyat Sarawak secara keseluruhannya dan tempo pembangunan ekonomi hijau dan tenaga diperbaharui,” tegas beliau.

Sektor tenaga diperbaharui itu merangkumi pembangunan tenaga solar, methanol dan ammonia, katanya dan menambah, pelabur juga akan turut tertarik apabila mendapati Sarawak kukuh dalam semua aspek.

Kejayaan menarik pelabur itu, katanya, akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan yang manfaatkan rakyat.

Menurut beiiau, pelaburan Kerajaan Sarawak dalam kumpulan Affin Bank merupakan satu langkah strategik dan membuka lambaran baharu dalam industri perbankan di negeri ini.

GAMBAR:PEJABAT PREMIER SARAWAK