Contohi persefahaman kaum kestabilan politik Sarawak – Anwar

MIRI: Kestabilan politik yang dikecapi di Malaysia perlu dimanfaat sebaiknya oleh pemimpin politik sebagai ruang melaksanakan dasar yang baik untuk rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kestabilan politik tidak seharusnya disalah guna oleh pemimpin politik bagi mengukuhkan kedudukan atau untuk kepentingan politik.

“Kestabilan politik ini yang membawa kepada pengukuhan nilai mata wang ringgit, pengangguran berkurangan dan inflasi lebih terkawal telah membolehkan kerajaan semasa menumpukan usaha membangunkan rakyat.

“Kadangkala masih ada orang politik yang sudah agak terdesak, yang agak lemas, dia tengok ekonomi berkembang, ringgit kian kukuh, tahap pengangguran berkurangan, peluang pekerjaan meningkat dan inflasi lebih terkawal maka jalan keluar untuk mereka adalah menghasut supaya timbul kebencian antara kaum serta kegelisahan kerana perbezaan fahaman agama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program MADANI Rakyat 2024 Sarawakku Sayang di Miri, hari ini.

Dalam pada itu, katanya persefahaman kaum di Sarawak yang menjadi asas kepada kestabilan politik di wilayah itu wajar dijadikan contoh untuk negeri lain bagi membolehkan mereka menumpukan kepada usaha pembangunan.

“Kadangkala rakan-rakan saya di Semenanjung harus juga belajar pengalaman rakan-rakan Sabah Sarawak, khususnya Sarawak.

“Orang Islam boleh menghayati Islam, mengimarahkan masjid untuk tempat beribadah, menyatukan semangat, menanam kesedaran, menimba ilmu tapi tidak menghalang sama sekali, malah dianjurkan supaya ada hubungan yang baik dengan rakan-rakan yang lain,” ujarnya.

Program itu turut dihadiri Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof, Yang Di-Pertua Dewan Negara, Senator Dato Awang Bemee Awang Ali Basah dan Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar.