KUCHING: Regata Bot Naga Sarawak 2024 dijangka menjana kutipan sebanyak RM1.5 juta.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, jualan kraf tangan yang menjadi pengisian penganjuran disasarkan sebagai pemangkin menarik pengunjung terutamanya dari luar negara.
Katanya, ia didorong penganjuran acara-acara lain seperti Kuching Marathon dijadual berlangsung esok dan Regata Sarawak 2024.
“Kemungkinan pada tahun ini, mereka dapat menjana RM1.5 juta berbanding tahun lalu menjana RM1.3 juta.
“Namun, saya menjangkakan kemungkinan mereka mampu menjana lebih daripada itu (RM1.5 juta) kerana dalam tarikh yang sama kita menganjurkan acara lain,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke reruai jualan kraf tangan di Tebingan Sungai Kuching hari ini.
Tambah Premier Sarawak, penganjuran acara bertaraf antarabangsa ini turut melonjakkan ekonomi industri perhotelan dan penginapan sekitar bandar raya ini.
“Lonjakkan pelancong turut bertambah kerana kita mendapat maklum balas daripada industri perhotelan,” jelas beliau lagi.
Terdahulu, Abang Johari menyempurnakan simbolik perasmian acara tersebut yang dimulakan dengan penyerahan pendayung dan disusuli menitik mata naga di bot yang bertanding.
Untuk rekod, perlumbaan kali ini mendapat penyertaan dari negara-negara luar seperti England, Ireland, Kanada, Rusia, Kazakhstan, Mongolia, Guatemala, Argentina, Qatar, Jepun, Cyprus, Indonesia, Taiwan, Sepanyol, Hong Kong, China, Singapura, Brunei, Thailand, Filipina dan Malaysia merangkumi pasukan dari Sarawak, Sabah, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar serta Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah serta tetamu kenamaan yang lain.
