Pesta Makan Tahun Kedayan Seborneo November depan

LAWAS: Persatuan Kedayan Lawas akan menganjurkan Pesta Makan Tahun Kedayan Seborneo, di sini, mulai 1 hingga 3 November depan.

Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong berkata, ini merupakan aktiviti tahunan untuk masyarakat Kedayan di Lawas hingga ke Sibuti.

“Saya mahu perayaan seperti ini diselaras dengan lebih teratur dan sistematik di bawah Pejabat Daerah atau Pejabat Residen,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa majlis penyampaian geran kerajaan kepada Persatuan Kedayan Lawas di Majlis Daerah Lawas, di sini, hari ini.

Di samping itu, Henry juga mahu penetapan kalendar program menarik di Lawas seperti Makan Tahun Kedayan, Pesta Lun Bawang dan Pesta Lumba Rakit di Long Tengoa untuk mempromosi dan memudahkan pelawat merancang perjalanan ke bandar ini.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Kedayan Lawas, Kr Haris Majid menzahirkan terima kasih atas sokongan Ahli Parlimen Lawas.