Projek talian grid 33KV 11 KV bermula tahun depan

BETONG: Projek naik taraf pemasangan talian grid 33 kilovolt (KV) dari Kampung Kaba menuju ke Simpang Nyabor dan 11KV dari Kampung Perpat ke Simpang Jalan Paloh, di sini, akan bermula tahun depan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, dua projek terbabit bernilai keseluruhan sebanyak RM14.8 juta telah ditender.

“Siapnya pemasangan grid 33KV dan 11KV itu nanti, ia sekali gus meningkatkan kestabilan bekalan elektrik di beberapa kampung serta rumah panjang di kawasan terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mempengerusikan mesyuarat projek pemasangan talian 33KV dan 11KV di bawah projek Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) bersama agensi pelaksana di Pejabat Residen Bahagian Betong.

Mohamad Duri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sektor Pembangunan Utiliti dan Telekomunikasi (BDDA) berkata, talian terbabit merupakan bekalan sandaran sekiranya kabel dasar laut yang menyeberangi Sungai Krian mengalami kerosakan.