KUCHING: GiatMara Sarawak kini mempunyai sebanyak 30 Pusat GiatMara yang menawarkan program latihan kemahiran dalam pelbagai bidang.
Pengarah Kanan Pelaburan MARA, Yahaya Sani berkata, program terbabit merangkumi lebih 27 kursus sepenuh masa termasuk tujuh kursus peningkatan dan tujuh kursus pengkhususan.
“Impak yang dibawa kepada masyarakat setempat adalah sangat besar dengan 26,405 pelatih berjaya menamatkan latihan sejak GiatMara ditubuhkan pada tahun 1986,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Graduasi GiatMara Malaysia ke-37 bagi Sidang 11 Tahun 2024 di Pusat Konvensyen Penview (PCC) Demak, di sini, hari ini.
Yahaya berkata, GiatMara Sarawak juga telah berjaya melahirkan seramai 2,103 usahawan pelbagai bidang.
Di majlis graduasi tersebut, seramai 496 graduan menerima sijil. Ia turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif GIATMARA Malaysia, Ts. Ahmad Hamdi Ibrahim.