DLP persiapkan pelajar untuk bersaing

BINTULU: Penguasaan Bahasa Inggeris, khususnya dalam bidang sains dan matematik penting untuk daya saing pelajar dalam pendidikan tinggi dan pasaran pekerjaan, kata Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Sarawak.

Dato Sri Roland Sagah Wee Ing berkata, sokongan berterusan kerajaan negeri terhadap Program Dwibahasa Sarawak (DLP) adalah petunjuk jelas tentang visi jangka panjangnya untuk pendidikan.

“Di Sarawak agak unik kerana mata pelajaran sains dan matematik diajar dalam bahasa Inggeris,” katanya ketika merasmikan Kursus Latihan Asas Program Dwi Bahasa Sarawak Tahun 5 2024 Fasa 2 di sini petang semalam.

Beliau menegaskan, fasa kedua Bengkel DLP di sini menandakan langkah penting dalam meningkatkan kualiti pendidikan dan memperkasakan guru serta pelajar.

“Inisiatif ini adalah bukti komitmen kami dalam melengkapi pelajar bukan sahaja dengan pengetahuan akademik, tetapi juga kemahiran bahasa yang penting untuk masa depan mereka.

“Dengan mengintegrasikan bahasa Inggeris dalam pengajaran mata pelajaran kritikal ini, kami memberi peluang kepada pelajar muda untuk mengakses pengetahuan dan sumber global. Ini untuk mempersiapkan mereka berjaya dalam dunia yang semakin saling terhubung,” katanya.

Hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Francis Harden Hollis dan Pengarah Pendidikan Sarawak, Datuk Dr Azhar Ahmad.