Industri ferroalloy cipta peluang baharu

BINTULU: Industri pengeluaran ferroalloy yang lestari alam sekitar mampu mencipta peluang baharu untuk Sarawak menjana pendapatan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberitahu, rantaian bekalan bagi industri pengeluaran ferroalloy boleh dibangunkan di Sarawak bagi mewujudkan peluang mengeksport.

Menurutnya, OM Sarawak mempunyai teknologi bagi menghasilkan ferroalloy yang lestari alam sekitar dengan mengurangkan pelepasan sulfur dan oksida dalam proses penghasilan.

“Saya difahamkan bahawa ferroalloy terdapat banyak sisa dalam proses penghasilan yang boleh diproses selanjutnya untuk menghasilkan produk lain.

“Dengan teknologi tersebut, wayar berteras kalsium silikon juga boleh menghasilkan skru tahan lasak yang mampu digunakan dalam membina kapal dan kapal terbang,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Makan Malam Gala Ulang Tahun Ke-10 OM Sarawak di Bintulu malam tadi.

Sehubungan itu, Premier Sarawak mencadangkan OM Sarawak menubuhkan sebuah kilang untuk menghasilkan wayar kalsium agar dapat mengaplikasikan konsep ‘circular economy’.

Beliau menambah, Kerajaan Sarawak berusaha membangunkan jalan penyuap bagi menghubungkan kawasan pedalaman kepada jalan utama dan memerlukan bahan mentah daripada penghasilan sampingan ferroalloy bagi mengeraskan jalan.

“Ini bermakna, OM Sarawak mesti ada pelan jalan menggunakan ferroalloy sebagai asas dan kemudian membangunkan rantai hiliran untuk produk lain yang akan mampan dan mungkin suatu hari nanti kita boleh mengeksport hasil sampingan ferroalloy ke luar negara,” katanya lagi.

Turut hadir ialah Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Dato Rajang Menggi, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Pengerusi Sarawak Energy Dato Ibrahim Baki.