Mohon dana JKKK Madani

BINTULU: Penduduk luar bandar digesa mengambil peluang memohon peruntukan di bawah inisiatif Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Madani bagi pembangunan projek komuniti.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Kemajuan Wilayah, Dato’ Sri Dr. Stephen Rundi Utom berkata, projek yang lengkap dengan kertas cadangan dan mematuhi prosedur akan mempunyai peluang lebih besar untuk menerima dana.

Sebaliknya, mereka yang tidak mempunyai sijil atau gagal memenuhi syarat mungkin tidak akan diluluskan, katanya pada majlis penyerahan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bagi DUN Kemena di Pejabat Residen Bahagian Bintulu di sini, semalam.

Sebanyak RM745,000 peruntukan MRP diserahkan kepada 12 penerima merangkumi JKKK rumah panjang, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), serta Badan Bukan Kerajaan (NGO) di kawasan DUN Kemena.

Beliau yang juga ADUN Kemena berkata, masyarakat juga boleh memohon peruntukan JKKK Madani, namun, ramai yang masih tidak tahu apa itu JKKK Madani.

Peruntukan ini sentiasa ada dengan jumlah RM100,000, tambahnya, justeru jangan lepaskan peluang ini dan permohonan mesti dibuat secara atas talian dan mereka perlu belajar cara mengisinya.

“Kasihan kepada mereka yang belum mahir. Saya sendiri baru mengetahui perkara ini semasa program Madani di Miri baru-baru ini. Ramai yang mendapat bantuan kewangan ketika itu, termasuk seorang peserta di Tubau, tetapi bukan dalam bentuk wang tunai.

“Kita perlu menyediakan kertas cadangan projek dengan anggaran RM100,000, dan dana akan disalurkan berdasarkan projek yang dikenal pasti, seperti pembinaan jalan dan sebagainya. Jadi, saya mohon semua pihak untuk mengisi permohonan dengan betul.