RMK-13: Pertimbang keperluan Sarawak

KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berharap Kerajaan Persekutuan akan meneliti dan mempertimbangkan keperluan Sarawak dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

Beliau berkata, Sarawak merupakan antara penyumbang utama kepada ekonomi Malaysia dan kemakmuran Sarawak akan memakmurkan Malaysia.

“Ini selaras dengan PCDS 2030, aspirasi Sarawak untuk menjadi sebuah ekonomi maju berpendapatan tinggi, inklusif dan mampan menjelang 2030,” katanya semasa berucap sempena sesi libat urus RMK-13 bersama Kerajaan Sarawak di sini.

Teks ucapan beliau dibaca Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan sesi libat urus itu turut dihadiri Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Timbalannya, Dato Hanifah Hajar Taib.

Premier Sarawak menegaskan, sesi libat urus ini amat bertepatan kerana ia merupakan platform untuk Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan berkongsi dasar, aspirasi dan perancangan pembangunan di negeri ini.

Menurut Abang Johari, sesi libat urus itu juga untuk memaklumkan kepada Kementerian Ekonomi mengenai cabaran pelaksanaan program dan projek pembangunan dari segi peruntukan, proses dan prosedur serta insentif yang diperlukan di Sarawak.

Beliau berkata, Kerajaan Sarawak mengambil pendekatan untuk memastikan data dan inovasi menjadi tonggak utama pembangunan Sarawak.

Usaha juga ditumpukan untuk mempelbagaikan aktiviti ekonomi khususnya aktiviti hiliran bernilai tinggi dan memperkenalkan ekonomi baharu, katanya.

Justeru, tambahnya, pembangunan infrastruktur asas, perkhidmatan pendidikan dan kesihatan yang berkualiti sebagai ‘enabler’ perlu dipercepatkan.

“Ini bagi memastikan aktiviti ekonomi dapat dilaksanakan di setiap pelosok Sarawak bagi meningkatkan pendapatan rakyat dan membasmi kemiskinan,” tegas beliau.

Menurut Abang Johari, Sarawak memerlukan sejumlah RM38.4 bilion untuk membina 1,292 kilometer (km) jalan baharu dan menaik taraf 4,782 km jalan sedia ada bagi membolehkan lebih 1,300 penempatan di pedalaman menikmati akses jalan ke kampong halaman.

Katanya, Sarawak memerlukan peruntukan berjumlah RM20 bilion untuk mencapai liputan air bersih 100 peratus dan RM1.3 bilion untuk mencapai 100 peratus bekalan elektrik 24 jam di luar bandar.

Prasarana pendidikan juga perlu perhatian segera dengan 460 sekolah masih mempunyai bangunan daif skala enam dan tujuh yang belum dibaik pulih dan 24 sekolah menengah dan 585 sekolah rendah yang
masih belum mempunyai bilik makmal Sains mereka
sendiri, katanya.

Secara keseluruhan, tegas beliau, Kerajaan Sarawak memerlukan sejumlah RM5.2 bilion untuk mengatasi masalah sekolah daif dan RM54 juta untuk mengatasi masalah kekurangan fasiliti makmal Sains.

“Kita juga berharap lebih banyak Program Perumahan Rakyat dilaksanakan di Sarawak memandangkan permintaan yang tinggi khususnya di kawasan bandar,” tambah beliau.

Dalam RMK-13, katanya, sejumlah RM140 juta diperlukan untuk pengukuran perimeter tanah Hak Adat (NCR) seluas 190,000 hektar dan pengukuran lot individu seluas 154,000 hektar.

Program ini penting untuk mengenal pasti dan mengesahkan sempadan tanah NCR yang sahih serta didaftarkan di dalam daftar tanah dan memastikan hak pemilikan tanah Adat Bumiputera terpelihara, katanya.

Untuk menjadikan Sarawak sebagai hab digital di rantau ini, infrastruktur telekomunikasi dan internet perlu diperhebatkan dan Sarawak memerlukan Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan peruntukan bagi membina 1,800 menara atau struktur telekomunikasi bagi mencapai liputan internet sepenuhnya dengan kos RM6.3 bilion, tegas beliau.

Peruntukan itu juga, katanya, untuk pelaksanaan gentian optik utama berkelajuan tinggi yang menghubungkan Sarawak dengan negara dan negeri jiran di samping menggalakkan pembinaan pusat data hiperskala di Sarawak.

Selain itu, katanya, Sarawak turut merancang membangunkan sektor pertanian komersial, tenaga hijau, pembangunan logistik dan hab aeroangkasa dan mempergiatan penyelidikan dan pembangunan.