KUCHING: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dijangka mengeluarkan laporan awal komprehensif tidak lama lagi berhubung lubang berhampiran sebuah pusat beli-belah di Jalan Song di sini.
Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ini setelah pihaknya mengarahkan JKR menjalankan siasatan segera kejadian itu dan memberikan laporan dalam masa dua hari.
“Jadi, kita tunggu laporan mereka. Saya hanya ingin tahu sejauh mana lubang itu. Saya fikir adalah sangat kritikal bagi kita untuk melihat lubang itu dengan sangat mendalam,”katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan permit pekerjaan (OP) Kompleks Unit Agama Lain (Unifor), di sini hari ini.
Uggah berkata, pihaknya akan berusaha sedaya upaya mengetahui apa yang berlaku secepat mungkin dan melihat lebih lanjut tentang cara untuk menambah baik dan juga menyemak kawasan lain yang mungkin mempunyai isu sama.
“Salah satu kaedah untuk memulihkan kestabilan tanah adalah dengan mengisi lompang terbuka di dalam tanah dan meningkatkan konsistensinya,” tambahnya.
Difahamkan terdapat juga jalan berlubang lain di dalam struktur tanah di atas kawasan sekitar yang terjejas, yang mungkin disebabkan oleh hakisan tanah atau tidak.